Tuesday, January 19, 2010

Rampasan Produk Adi Putra Selepas Siasatan Rapi : KKM

PETALING JAYA: “Rampasan yang dilakukan terhadap produk Ubat Penawar Sendi Tulang milik kanak-kanak genius, Adi Putra Abdul Ghani , 11, Sabtu lalu, bukan dilakukan sesuka hati atau berniat jahat. Kami tidak punya apa-apa kepentingan dalam perkara ini,” kata Pengarah Penguat kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohd Hatta Ahmad.

Menurutnya, kajian berhubung isi kandungan produk berkenaan yang didakwa boleh menyembuhkan sakit sendi dan tulang sudah mula dilakukan di makmal forensik bahagian penguat kuasa farmasi sejak awal November tahun lalu.

“Ujian makmal yang dilakukan kakitangan makmal berulang kali mendapati pil terbabit disahkan mengandungi kimia Dexamethasone iaitu dadah steroid yang boleh membahayakan kesihatan pengguna.


“Semua ujian makmal terbabit dilakukan secara terperinci menggunakan peralatan paling moden yang boleh mengesan sebarang kehadiran kimia berbahaya yang sengaja dicampurkan ke dalam ubatan atau makanan kesihatan,” katanya.
Menurutnya, tidak timbul isu sama ada pegawai penguat kuasa farmasi sengaja mensasarkan produk Adi Putra berikutan semua tindakan diambil mengikut prosedur selain terlebih dahulu melalui ujian makmal yang ketat.

Dalam pertemuan singkat semalam, Hatta sempat membawa wartawan melawat dua makmal moden KKM iaitu Makmal Forensik Bahagian Penguat kuasa Farmasi dan Makmal Pengujian Produk Unit Penyaringan Campur Palsu KKM yang digunakan khusus untuk menjalankan pemeriksaan terhadap ribuan produk kesihatan.
“Penggunaan alatan moden seperti Gas Mass Spectrum Chrometography (GCMS) dan High Performance Liquid Chrometography (PLC) mampu mengesan bahan asing yang dicampurkan ke dalam ubatan walaupun dalam kuantiti kecil.

“Keputusan yang diperoleh 100 peratus tepat dan tidak perlu diragui. Bukti terbabit kemudian dijadikan asas bagi membolehkan tindakan susulan dilakukan bagi merampas mana-mana produk kesihatan yang didapati bercampur aduk dengan kimia berbahaya di pasaran,” katanya. Beliau berkata, dakwaan pada pelekat label produk yang mendakwa Produk Ubat Penawar Sendi Tulang dihasilkan daripada rempah ratus seperti halia dan madu ternyata satu fakta tidak tepat dan pihaknya masih menyiasat sumber pembekal produk pil terbabit diperoleh. Menurutnya, pemeriksaan makmal pada enam lagi produk homeopati dipasarkan Adi Putra turut mendapati ia hanya mengandungi bahan sukrose iaitu gula. “Berdasarkan siasatan ketika serbuan, semua pil kecil berwarna kuning itu didapati diimport daripada pengeluar produk Homeopati dari Lahore, Pakistan,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails